Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kabinet bayangan pakatan pembangkang adalah helah untuk mengelirukan rakyat demi kepentingan politik.

Beliau berkata kabinet bayangan adalah satu keperluan dalam sistem demokrasi 'Westminister' di England, yang mana rakyat boleh menilai sama ada pasukan bayangan yang dibentuk pembangkang berwibawa atau tidak.

Bagaimanapun, dalam hal ini, kabinet bayangan pembangkang boleh dipertikaikan daripada pelbagai sudut antaranya tidak melibatkan penyertaan menyeluruh mengikut wilayah dan kronisme.

"Mereka selalu dakwa kita kronisme tapi bila sampai kepada mereka, mereka cuba pertahankan apa yang dilakukan, "katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur malam ini.

"Mereka ini sebenarnya beri macam-macam mesej yang bertentangan. Ada yang mendakwa itu kabinet bayangan dan masukkan dalam blog, dan ada pula yang menafikan itu bukan kabinet bayangan mereka dan ada yang kata tak perlu cuma bila menang pilihanraya saja mereka boleh bentuk kerajaan," katanya.

Sementara itu, Najib yang juga pengerusi BN, berkata Dewan Tertinggi BN turut mengambil kira bahawa bajet pembangkang tidak mendapat tumpuan di kalangan para penganalisis ekonomi.

Katanya, para penganalisis itu berpendapat bahawa bajet pembangkang itu tidak dapat dipertahankan dari segi kredibiliti dan kemampanan untuk dilaksanakan.

"Segala janji yang dibuat (dalam bajet pembangkang) kalau dilaksanakan akan membawa kesan dan mudarat yang besar terhadap keutuhan kewangan kerajaan dan keyakinan terhadap ekonomi negara," katanya.

Najib, yang juga menteri kewangan, berkata Dewan Tertinggi juga berharap pelaksanaan dalam Belanjawan 2013 akan diberi tumpuan dan penelitian yang sebaiknya supaya rakyat mendapat manfaat sepenuhnya.

Katanya, kerajaan akan meneruskan penjelasan kepada rakyat mengenai 111 inisiatif atau 'touch points' dalam belanjawan itu yang akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk menepati janji yang telah dibuat kepada rakyat.

- Bernama